Tuesday 30 July 2013

Di Malaysia Seorang Anggota Polis Berkhidmat Untuk 700 Penduduk!

Polis tidak boleh dipersalahkan dalam peningkatan kejadian pembunuhan menggunakan senjata api yang dilihat seolah-olah berleluasa sejak kebelakangan ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebaliknya semua pihak perlu memahami bahawa polis di Malaysia menghadapi kekurangan jumlah anggota dan peralatan berbanding negara maju.
“Sebagai contoh, di New York, Amerika Syarikat, seorang polis berkhidmat untuk 35 penduduk berbanding seorang polis di Malaysia berkhidmat untuk 700 penduduk untuk sesuatu kawasan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Miles Kuppa di pejabatnya di sini hari ini, sebagai mengulas kejadian tembak yang sering dilapor sejak kebelakangan ini termasuk melibatkan individu berprofil tinggi.
Semalam Pengasas Arab Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi maut manakala isterinya cedera ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina, Kuan Yin Temple, di Lorong Ceylon, di ibu negara.
Kejadian itu berlaku dua hari selepas aktivis antijenayah yang juga Pengerusi MyWatch R. Sri Sanjeevan cedera ditembak di persimpangan berdekatan Taman Awana Indah, Jempol, Negeri Sembilan.
Selain dua kes berprofil tinggi itu, satu lagi kes tembak dilaporkan semalam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang menyebabkan seorang cedera dan pada Ahad malam pula seorang lelaki maut dan dua parah ditembak oleh lelaki yang menaiki sebuah kereta ketika ketiga-tiga mereka sedang minum di bahagian luar sebuah restoran di Kampung Simee di Ipoh.
Sambil mengakui bahawa antara faktor peningkatan kadar jenayah berpunca daripada pembebasan tahanan di Simpang Renggam, Ahmad Zahid berkata kementerian menerusi pelbagai agensinya akan mempertingkat kawalan keselamatan di sempadan negara yang menjadi lokasi untuk menyeludup senjata.
Kementerian juga akan mempertimbangkan pembelian peralatan baru untuk anggota polis dan menambah lebih banyak litar kamera tertutup (CCTV) bagi membanteras kejadian jenayah pada masa depan, katanya.
Mengenai penyebaran fahaman Syiah di Malaysia, Ahmad Zahid berkata kementerian akan bekerjasama dengan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Hal Ehwal Agama Islam Negeri untuk mengekang fahaman itu. – Bernama

Di mana Nasib Bangsa di Singapore?

PETALING JAYA 30 Julai - Dua lelaki hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan menetak jari Dr. Delaila Ahmad hingga putus ketika melakukan rompakan dua minggu lepas.

P. Sharves, 22, dan S. Kanthavellu, 20, didakwa menyebabkan kecederaan dengan menetak jari tangan kiri Dr Delaila, 59, di tepi jalan SS 19/6, Subang Jaya menggunakan parang pada 1.20 pagi, 16 Julai lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Yasmin Abdul Razak membenarkan tertuduh, masing-masing diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan mereka melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali serta dilarang mengganggu atau mendekati mangsa dan saksi.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan mereka didakwa atas tuduhan merompak wang tunai RM18,000 milik Dr. Delaila di tempat, tarikh dan waktu yang sama.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Rozina Ayob membenarkan mereka diikat jamin RM8,000 dengan mensyaratkan bapa tertuduh pertama dan ibu tertuduh kedua sebagai penjamin.

Kedua-dua kes itu akan disebut semula 22 Ogos. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Dalira Din bagi kes rompak dan bagi kes mencederakan, dikendalikan Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir.
Kedua-dua tertuduh diwakilli peguam S. Siva Ganish. - BERNAMA